JIS adakan lawatan sambil belajar

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajarnya, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah mengendalikan lawatan sambil belajar ke Radio Televisyen Brunei (RTB) di ibu negara bagi rombongan 40 pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan, hari ini.

Rombongan pelajar itu terdiri daripada pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Modern Foreign Language (MFL).

Turut berkenan berangkat menyertai lawatan itu ialah anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Mengiringi Duli Yang Teramat Mulia ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam, Pengiran Muhd Hasbul Qahhar bin Pengiran Haji Mohd Suhaimi.

Rombongan pelajar dialu-alukan oleh Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu yang seterusnya menyampaikan penerangan ringkas mengenai latar belakang RTB di mana beliau menekankan akan pentingnya peranan RTB dalam memberi informasi seperti pendidikan, berita, hiburan dan lainnya yang bukan saja untuk penonton tempatan tetapi juga ASEAN dan antarabangsa.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan bergambar ramai bersama Pelajar Tahun 6 dan warga kerja RTB, kelmarin.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan mengadakan lawatan ke salah satu bilik stesen radio di RTB.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan bergambar ramai bersama rombongan pelajar JIS semasa lawatan ke RTB, Bandar Seri Begawan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan menyaksikan tugasan di Bilik Rampai Pagi bersama para pelajar Tahun 6 JIS lainnya, kelmarin.

Kemudian rombongan berpeluang melihat lebih dekat lagi ke konti radio seperti Harmoni FM, Pilihan FM, Pelangi FM, Nasional FM, Rangkaian Nur Islam sebelum melihat secara langsung sesi ‘bermukun’.

Selain itu, rombongan juga berpeluang menyaksikan siaran rancangan Rampai Pagi di Studio 1 sekali gus mengambil bahagian dalam program secara langsung berkenaan.

Guru Bahasa Melayu Tahun 1 hingga Tahun 6 JIS, Hajah Hasnah binti Haji Jumat ketika ditemu bual menjelaskan, antara lain objektif lawatan adalah untuk mendedahkan para pelajar mengenai fungsi RTB dalam menyalurkan maklumat dan memberikan hiburan kepada penonton dan pendengarnya.

“Selain itu, lawatan ini diharap dapat memberi pengalaman pekerjaan dalam bidang penyiaran kepada pelajar di samping melihat lebih dekat mengenai proses penyiaran yang dilakukan oleh pihak RTB,” tambahnya.

Pelajar juga dapat mengetahui mengenai rangkaian radio yang ada, bagaimana penyiaran dan penyuntingan berita dilakukan.

Lawatan juga diharap dapat memberi pengetahuan meluas mengenai RTB dan pengetahuan tersebut dapat diaplikasikan untuk pembelajaran dalam kelas.

Hajah Hasnah turut menjelaskan bahawa beberapa langkah dan inisiatif pengajaran dilakukan adalah supaya mereka berminat untuk berbahasa Melayu dalam bilik darjah dan

lawatan berkenaan juga merupakan salah satu aktiviti yang dilaksanakan selain ia merupakan aktiviti tahunan JIS.

Di samping aktiviti lawatan, program bacaan dan program ICT terutama dalam penggunaan tatabahasa juga diadakan di mana program ini memudahkan mereka untuk belajar sekali gus menimbulkan minat dan keseronokan untuk belajar Bahasa Melayu ini, tambahnya.