JIS adakan upacara menaikkan bendera

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) tidak ketinggalan mengadakan upacara menaikkan bendera di perkarangan sekolah perpustakaan dalam sama-sama meraikan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35.

Berkenan berangkat ke upacara berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, upacara telah didahului dengan ucapan ringkas daripada Ketua Pelajar Perempuan, Rania Teguh dan Ketua Pelajar Lelaki, Jacob Hill, diikuti dengan bacaan doa bagi memulakan majlis berkenaan yang disempurnakan oleh pelajar tempatan, Awang Zakwan Salleh.

Kemudian, dua orang pelajar, Nazurah Hapiz dan Iffah Idres dijemput untuk menjelaskan mengenai sejarah Sambutan Hari Kebangsaan Brunei serta tema sambutan ke-35 tahun ini.

Majlis berkenaan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan oleh orkestra JIS ketika bendera negara dinaikkan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan bergambar ramai bersama para pelajar JIS semasa upacara menaikkan bendera negara bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35, kelmarin.
Rania Teguh dan Jacob Hill semasa menjelaskan sejarah Hari Kebangsaan pada acara yang diadakan di JIS.

Acara tersebut turut disaksikan oleh sekumpulan besar pelajar Brunei dan antarabangsa serta guru-guru dan kakitangan pentadbiran JIS.

Pengetua JIS, Barnaby Sandow dipetik berkata, “Ia merupakan satu penghormatan yang besar kerana dapat menyertai hari istimewa ini. Kami sangat berbangga bahawa majlis menaikkan bendera tahunan dipimpin oleh para pelajar senior.”

Selain upacara menaikkan bendera di kampus JIS, para pelajar Tahun 9 dengan ditemani pengetua dan sebahagian guru kanan sekolah berkenaan akan menyertai Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan pada 23 Februari ini.