JIS anjur Minggu Matematik

Gambar serahan JIS

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), minggu lalu telah menganjurkan Minggu Matematik yang diisikan dengan pelbagai aktiviti memperkaya pengetahuan para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, seorang ahli matematik warga Australia dan guru matematik dari Phoenix, Arizona, Dr James Tanton telah hadir sebagai jemputan khas bagi acara berkenaan yang juga ditaja oleh Brunei LNG.

Kenyataan menyatakan, semasa acara berkenaan, Dr Tanton menyampaikan taklimat mengenai Exploding Dots – Maths you Thought you Knew in a Brand New Light kepada para pelajar rendah dan menengah JIS selama tiga hari di Auditorium Pusat Kesenian JIS.

Taklimat juga melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah jemputan seperti Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Sekolah Seri Mulia Sarjana, Sekolah St Andrew, Sekolah Rendah Jigsaw, Sekolah Hornbill, Sekolah Pembelajaran Tinkerbell, Sekolah Sinaran Mas, Sekolah Stella, Sekolah Panaga, ISB Kuala Belait, Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana, Sekolah Rendah Sungai Tali Lumut II Belait, Sekolah Al-Falaah Brunei dan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang Minggu Matematik itu termasuk House Sprint Maths hingga kuiz ibu bapa dan pelajar harian.

Kuiz-kuiz dan pertandingan telah ditaja oleh Escape Rooms dan Kafe Nerdee yang menyumbangkan baucar-baucar sebagai hadiah kemenangan.

Bengkel-bengkel matematik juga telah diadakan bagi pelajar sekolah menengah.

Dr James Tanton ketika mengadakan bengkel bersama pelajar Tahun 9.