BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Seramai 163 orang pelajar Tahun 8 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), baru-baru ini, mengikuti kelas ‘Body Attack’ yang dipimpin oleh Fitness Zone di salah satu dewan sukan sekolah berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, kelas berkenaan adalah sebahagian daripada topik Kehidupan Sihat dalam Program Pendidikan Personel, Sosial dan Kesihatan (PSHE) sekolah berkenaan.
Sementara para pelajar mempelajari mengenai kepentingan pemakanan sihat dan senaman harian, ‘Body Attack’ adalah aktiviti yang baik untuk disertai semua pelajar.
Pengetua JIS, Nicholas Sheehan dipetik menyatakan, adalah bagus dapat mengajar kanak-kanak mengenai bagaimana bersenam dan berseronok pada masa yang sama.
Menurutnya lagi, senaman secara konsisten boleh membantu mengurangkan simptom kebimbangan dan tekanan disebabkan media sosial dan pendedahan yang berpanjangan terhadap Internet.
Kenyataan menjelaskan, di Sekolah Rendah JIS, Program PSHE memfokuskan tiga bidang iaitu kesihatan fizikal, kesihatan emosi dan kesihatan intelek.
Penyelaras PSHE Kehidupan Sihat Tahun Pertengahan dan Ketua Rumah Frogmouth, Sue Mead berkata, para pelajar bukan sahaja menyertai dan berseronok ketika melakukan senaman, malah dalam satu sesi, mereka menggabungkan tiga teras PSHE yang dipromosikan di JIS.
Di sekolah menengah, program berkenaan disampaikan menerusi 16 rumah dengan setiap rumah merangkumi 70 orang pelajar. Setiap hari, para pelajar bertemu tutor rumah mereka dan mengikuti ‘House Time’ selama sejam seminggu. PSHE juga dikendalikan di rumah-rumah berkenaan.
Program berkenaan bermatlamat untuk melengkapi setiap pelajar dengan pengetahuan, pemahaman diri dan kemahiran sosial, emosi dan intelek yang diperlukan untuk hidup sihat, selamat dan seimbang untuk mencapai potensi penuh.
