JIS rai Hari Skuasy Sedunia 12 Okt

Oleh Hamidah Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Bagi mempromosikan sukan skuasy di negara ini, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan Persatuan Raket Skuasy Brunei (BSRA) akan meraikan Hari Skuasy Sedunia 2019 pada 12 Oktober ini.

Sehubungan dengan itu, Pusat Skuasy Kebangsaan di Kompleks Stadium Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan membuka pintunya kepada orang awam untuk belajar dan bermain skuasy secara percuma mulai jam 2 petang hingga 6 petang dalam sesi yang dipanggil ‘The Big Hit’.

Pada acara berkenaan, penganjur akan menyediakan raket dan bola skuasy secara percuma dan para peserta hanya perlu hadir dengan pakaian sukan yang selesa dan bersesuaian.

Menurut siaran akhbar dari WorldSquash.org, Pengasas Hari Skuasy Sedunia, Alan Thatcher berkata matlamat mereka adalah untuk menarik 100,000 pemain baharu di seluruh dunia tahun ini.

“Setiap kelab dijemput menjadi tuan rumah sesi ‘The Big Hit’ untuk mempromosikan manfaat kesihatan daripada sukan skuasy selain mengeratkan silaturahim yang merupakan sebahagian daripada permainan hebat ini,” jelas Thatcher.

Hari Skuasy Sedunia disokong oleh Persekutuan Skuasy Sedunia, Persatuan Skuasy Professioal (PSA) dan semua persekutuan kebangsaan skuasy di seluruh dunia, di mana tahun ini merupakan penyertaan pertama bagi Negara Brunei Darussalam.