Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) muncul juara berganda dalam kedua-dua Kategori Bawah 15 (B-15) dan Bawah 18 Tahun (B-18) Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kluster 2 Tahun 2017.
Pasukan Sekolah Menengah Awang Semaun terpaksa akur dengan tempat kedua selepas ditewaskan JIS bagi Kategori B-15, manakala tempat ketiga disandang oleh Pasukan Sekolah Menengah Masin.
Sementara itu, dalam Kategori B-18 pula turut dijuarai pasukan tuan rumah, JIS, yang menewaskan Pasukan Sekolah Menengah Awang Semaun, menerima nasib yang sama di tempat kedua, dan Sekolah Menengah Masin menduduki tempat ketiga.
Bazilah Maiden muncul sebagai pemenang anugerah Pemain Terbaik Kategori B-15, manakala Pemain Terbaik Kategori B-18 pula dimenangi oleh Sophie Granville, yang mana kedua-dua pemain merupakan pemain dari Pasukan JIS.

Kejohanan Bola Jaring Peringkat Akhir Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kluster 2 bagi tahun 2017 itu adalah anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Jasmani. Hadir selaku tetamu kehormat di kejohanan tersebut ialah Pengetua JIS, Barnaby Sandow yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang.
Tujuan kejohanan tersebut diadakan adalah untuk memberi galakan dan dorongan kepada atlet remaja di sekolah-sekolah dan maktab-maktab supaya bergiat aktif dalam kegiatan sukan serta melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas dari segi fizikal dan mental.
la juga sebagai sukat-sukat untuk menilai tahap kualiti dan pencapaian atlet remaja yang berpotensi untuk diberikan bimbingan secara bersistematik bagi membolehkan mereka mewakili negara di masa akan datang. Selain itu menjadikannya salah satu kegiatan projek tahunan bagi Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Jasmani.