JIS sokong inisiatf PBSM bantu masyarakat terkesan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah menyumbangkan keperluan makanan asasi bagi Bakul Makanan Kecemasan COVID-19 yang dilaksanakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Operasi dan Pengayaan, Justin Harris kepada Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim pada majlis yang diadakan di BRC Risk Deployment and Logistic Hub, Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM, Pejabat Pos Bunut.

Salah satu inisiatif PBSM dalam sama-sama membantu Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain menangani pandemik wabak COVID-19 yang melanda negara sejak 7 Ogos lalu adalah dengan penyediaan Bakul Makanan Kecemasan COVID-19 yang disumbangkan kepada masyarakat yang terkesan oleh penularan wabak COVID-19.

Golongan sasaran ialah masyarakat yang tidak berkemampuan, asnaf fakir miskin, keluarga daif yang berdaftar dalam Program Bantuan Makanan PBSM dan warga asing serta pekerja migran di negara ini.

Sejak 10 Ogos lalu, sebanyak 500 Bakul Makanan Kecemasan COVID-19 telah pun diedarkan kepada mereka yang memerlukan di seluruh negara.

Dengan sumbangan yang diterima daripada JIS itu akan dapat membantu mencukupkan catuan makanan asasi yang sedia ada dalam simpanan Program Bantuan Makanan PBSM yang telah wujud hampir lima tahun yang lalu.

Program berkenaan diwujudkan bersesuaian dengan objektif dan sasaran persatuan untuk menyediakan bantuan kecemasan berupa catuan keperluan makanan asasi semasa bencana, musibah atau pandemik berlaku di negara ini.

Sehubungan itu, PBSM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JIS dan rakan-rakan korporat yang telah berkesudian menyumbang ke arah kelestarian berterusan Program Bantuan Makanan PBSM.

Justin Harris menyerahkan sumbangan kepada Haji Mohd Suhaimi.