JIS sokong usaha PBSM Brunei Darussalam

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporatnya ketika negara berdepan dengan impak cabaran penularan COVID-19 pada masa ini, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) tampil menyumbangkan pelbagai makanan asasi dan barangan keperluan bagi Program Bakul Makanan Kecemasan COVID-19 yang dilaksanakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Sumbangan yang merupakan hasil kutipan derma seikhlas hati daripada kakitangan JIS itu telah disampaikan oleh Pengarah Operasi dan Pengayaan, Justin Harris kepada Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim pada majlis yang diadakan di BRC Risk Deployment and Logistic Hub, Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM, Pejabat Pos Bunut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, Program Bakul Makanan Kecemasan COVID-19 PBSM itu diwujudkan bagi membantu golongan sasaran yang terdiri daripada masyarakat yang tidak berkemampuan, asnaf fakir miskin, keluarga daif yang berdaftar dalam program berkenaan dan juga termasuk warga asing serta pekerja migran di negara ini.

Selain daripada sumbangan yang dijalankan sebagai inisiatif amal JIS bagi menyokong usaha PBSM Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain menangani pandemik wabak COVID-19 ini, JIS melalui ahli Jawatankuasa Sukan dan Amal Pelajar Sekolah juga sedang giat mengatur acara sukan amal secara maya bersempena dengan National Fitness Day yang bakal diadakan pada bulan ini sebagai usaha bagi membantu meningkatkan tabung dana PBSM Negara Brunei Darussalam.

Pengetua JIS, Nicholas Sheehan turut merakamkan kegembiraan atas kemurahan hati warga sekolah selama ini dan mereka teruja bagi usaha-usaha kutipan dana seterusnya demi menyokong inisiatif PBSM Brunei Darussalam.

Justin Harris menyerahkan sumbangan kepada Haji Mohd Suhaimi. – Gambar serahan JIS