JIS tayang filem eksklusif Redha

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) melalui Fakulti Bahasa Asia, baru-baru ini, telah menganjurkan tayangan filem eksklusif Redha bagi meraikan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia.

Acara yang diadakan di Auditorium Pusat Kesenian JIS itu telah dihadiri oleh lebih 300 orang pelajar-pelajar Bahasa Melayu, Bahasa Asing dan Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa dari Tahun 7 hingga 13.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, Redha adalah filem yang telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa dan mengisahkan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sebuah keluarga dalam membesarkan seorang anak autisme.

Ketua Fakulti Bahasa Asia di JIS, Melhan Adam dipetik sebagai berkata, “Kami gembira dengan kedatangan penerbit Redha, Ku Mohammad Haris bin Ku Sulong dari Malaysia untuk menonton tayangan bersama pelajar-pelajar kami.

“Redha merupakan alat pendidikan yang berkuasa untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar. Aktiviti-aktiviti kelas berkaitan bahasa yang berasas tema kesedaran autisme akan dilaksanakan sepanjang April,” tambah beliau.

Lebih 300 pelajar JIS hadir menyaksikan tayangan filem eksklusif Redha bagi meraikan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia.