Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) melakar satu pencapaian yang membanggakan apabila sekolah berkenaan berjaya mencapai persijilan berprestij ISO 9001 di mana ia merupakan standard antarabangsa bagi sistem pengurusan kualiti.
Menurut kenyataan JIS, hari ini, organisasi-organisasi menggunakan standard berkenaan untuk menunjukkan keupayaan menyediakan produk dan perkhidmatan secara konsisten untuk memenuhi keperluan pengguna dan pengawal seliaan.
Pengetua Nicholas Sheehan dipetik berkata, sebagai sebuah sekolah, mereka amat bangga dengan moto mereka iaitu Mencapai Kecemerlangan.
Namun begitu, para guru dan pelajar dengan sokongan padu daripada pasukan kakitangan dari fungsi sumber manusia kepada rangkaian sokongan IT serta sokongan logistik dan pentadbiran turut berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang tanggungjawab masing-masing.
Oleh itu, ISO 9001 merupakan ukuran kecemerlangan setiap bidang fungsi berkenaan dan beliau amat bangga penganugerahan berkenaan mengiktiraf usaha keras setiap pihak di
JIS.
Untuk mencapai persijilan tersebut, sekolah itu diperlukan untuk melalui pelbagai peringkat yang berbeza.
Pengarah Pengayaan dan Operasi, Justin Harris menerangkan bahawa setiap jabatan di JIS perlu mengenal pasti perkhidmatan atau produk yang disediakan dalam sekolah.
Sistem dan proses yang terdapat bagi penyampaian perkhidmatan berkenaan perlu diperincikan dan juga sistem diperiksa secara mendalam untuk memastikan kualiti yang konsisten.