Ahli kumpulan Blackpink iaitu Jisoo berkata dia pernah dihina kerana wajahnya dikatakan tidak cantik dan hodoh.
Menurut laporan Newsbreak, Jisoo mendedahkan suatu ketika dahulu dia menerima layanan buruk daripada saudara mara dan kehadirannya tidak disenangi mereka.
Cerita sedih itu dikongsi Jisoo dalam filem dokumentari Blackpink: Light Up The Sky yang ditayangkan di Netflix.
“Saudara mara saya memperlakukan saya seperti orang buangan kerana saya hodoh. Mereka memanggil saya monyet,” katanya kepada seorang jurusolek.
Mendengar cerita itu, jurusolek berkenaan memberikan semangat dan memberitahu Jisoo merupakan salah seorang artis wanita paling cantik yang pernah ditemui.
Sementara itu, peminat turut menulis kata-kata semangat dan menyifatkan penyanyi berusia 25 tahun ini memiliki kecantikan luar dan dalam.
“Tak apa… awak paling cantik sekarang ini! Yakin diri dan terus maju, kami menyayangi Jisoo,” tulis peminat di laman Twitter. – Agensi