Oleh Lenna N.B.
MEMPUNYAI sejarah yang panjang selama ribuan tahun lalu di mana ia dipercayai digunakan sebagai alat komunikasi oleh masyarakat purba. Malah, turut digunakan bagi memberikan tanda untuk amaran peperangan, tanda berkabung atas kematian seseorang dan sebagainya. Di samping itu, ia juga digunakan oleh masyarakat tradisi sebagai alat hiburan, mengiringi gerak tari dan nyanyian.
Begitulah istimewanya ‘gendang’ dalam tamadun kehidupan masyarakat dunia, dari zaman purba hinggalah ke arah kemodenan. Digunakan dalam ketenteraan, istana, perkahwinan, majlis keraian dan juga dalam persembahan.
Menurut Pengiran Kamal Ghadafi bin Pengiran Haji Suhaimi, pengurus dan pengasas sebalik Kamaloko Entertainment Group, jumlah jenis instrumen gendang di seluruh dunia mencapai sehingga ratusan kerana setiap masyarakat dan bangsa mempunyai gendang mereka yang tersendiri sekaligus setentunya menghasilkan bunyi yang berbeza dengan keunikannya yang tersendiri.
“Dalam muzik tradisi kita sahaja mempunyai beberapa jenis gendang seperti Gandang Labik, Dombak, Hadrah, Tar dan sebagainya. Apatah lagi di Brazil yang memang terkenal dengan alat gendang-gendangannya seperti Caixa, Tamborim, Surdos Primera, Repinique, Guiro, Agogo Bells, Congo, Bonga, Djembe, Timbal, Timbale, dan sebagainya, yang tidak dapat kami sebutkan,” ujar Pengiran Kamal Ghadafi.
Sejarah permulaan Kamaloko
Mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan kumpulan ‘Kamaloko’ sebagai satu-satunya kumpulan perkusi gendang tanahair yang menggabungkan pemain-pemain gendang tempatan daripada pelbagai latar dan pengalaman.



Mereka mula aktif dalam tahun 2005 dengan memberanikan diri memperkenalkan perkusi gendang, yang pada masa itu agak baru dan belum lagi diketahui tentang trend perkusi muzik ini.
Gendang atau dram pada zaman itu, tidak boleh dipisahkan dengan sebuah kumpulan kugiran yang menggabungkan pemain gitar, penyanyi dan sebagainya. Ia hanya bertindak sebagai muzik sampingan dalam sebuah lagu mengiringi persembahan.
Manakala, persembahan solo akustik perkusi gitar sudah pun dikenali di mana pemainnya menunjukkan kehebatan mereka dalam mengetik tali gitar.
Pada waktu itulah, Pengiran Kamal memberanikan diri untuk mengumpulkan beberapa pemain dram bagi melakukan persembahan solo perkusi dram.
“Jika gitar boleh dipersembahkan secara solo tanpa instrumen muzik yang lain dan penyanyi, kenapa tidak gendang? Sedangkan pada waktu itu, persembahan dram atau gendang sudahpun meluas di negara luar. Selaku sebagai seorang pemain dan pencinta gendang, saya memberanikan diri menubuhkan kumpulan ini,” tambah Pengiran Kamal.
Menurutnya, sebelum ini beliau sudah menjadi pemain dram sejak tahun 1993 di dalam sebuah kumpulan kugiran. Kira-kira 12 tahun selepas itu, timbul inspirasi beliau untuk menunjukkan cara sesebuah rentak gendang itu dapat dihayati lebih daripada kebiasaannya, bagaimana sesebuah gendang mempunyai rentak muzik yang istimewa hingga dapat menjadi pembakar semangat serta hiburan kepada penghayatnya.
“Di situlah, saya mengumpulkan pemain-pemain dram yang lainnya, dan melakukan persembahan buat pertama kali di Jerudong Park di hadapan kira-kira 400 orang khalayak penonton,” jelas Pengiran Kamal.



Namun, disebabkan oleh masalah kewangan, serta komitmen, dalam tahun 2005, aktiviti kumpulan Kamaloko terpaksa dihentikan seketika dan hanya kembali pada tahun lalu, apabila Jerudong Park ingin kumpulan tersebut kembali beraksi bagi menyerikan suasana di taman permainan tersebut. Di samping itu, Progresif Cellular juga menjadi penyokong utama dalam menggerakkan kumpulan Kamaloko setelah lebih 10 tahun tidak aktif.
“Alhamdulillah, setentunya kami rasa bersyukur kepada syarikat-syarikat tanahair seperti Jerudong Park dan PCSB yang telah mendorong kumpulan ini untuk terus bergiat aktif. Kini, kami bergerak lebih kuat daripada sebelumnya, dan telah berjaya mengumpulkan kira-kira lebih 20 pemain,” jelas Pengiran Kamal.
Rahsia rentak gendang bersatu
Menurut Pengiran Kamal, memandangkan para pemain memang mempunyai latar kemahiran di bidang muzik, mereka tidak mengalami kesukaran untuk mencipta keharmonian dan kesatuan dalam rentak persembahan.
“Yang penting mereka tahu apa itu melodi, anemik, dan tempo. Justeru itu, dalam persembahan biasanya kami mencipta rentak secara spontan dan tanpa perlu berlatih, kami boleh beraksi hingga ke kemuncak muzik. Semuanya automatik dilakukan secara spontan. Mungkin inilah keistimewaan kami, mampu berkomunikasi melalui rentak gendang,” jelas Pengiran Kamal ketawa.
Dari segi rentak muzik pula adalah pelbagai iaitu dari muzik tradisi tempatan, hinggalah ke moden dan antarabangsa. Kamaloko menjadi kumpulan perkusi gendang bersifat universal yang memainkan muzik dunia.
“Selain itu, melalui persembahan gendang juga, kami telah mencipta semangat kebersamaan. Menikmati setiap waktu bersama melalui rentak gendang, kerana bermain gendang tidak terhad pemainnya walaupun sehingga beratus pemain pun. Kami dapat menikmati dan membentuk rentak bersama. Itu juga antara sasaran yang telah kami aturkan dan kami ingin mencapai pemain lebih daripada 100 orang beraksi dalam persembahan,” tambah beliau


Projek kitar semula
Menurut Pengiran Kamal, pada bulan Oktober nanti, kumpulan Kamaloko bakal beraksi. Lebih menarik lagi apabila mereka mempunyai projek untuk menggunakan barang kitar semula sebagai alat gendang dalam persembahan itu nanti.
“Setakat ini, rakan-rakan telah mengumpul tin-tin makanan, baldi-baldi dan sebagainya untuk dijadikan sebagai alat muzik. Kini, kami masih membuat kajian bagaimana barang kitar semula itu dapat membentuk bunyi seperti gendang sebenar kerana bunyi yang sempurna dapat membentuk rentak yang indah. Projek ini masih berjalan sehingga ke hari ini,” terang beliau.
Platform usahawan
Industri muzik sebagai karier sepenuh masa mungkin agak sukar untuk diketengahkan di negara ini. Namun, itulah sasaran utama kumpulan Kamaloko. Mereka ingin menjadikan kumpulan tersebut sebagai sebuah syarikat perniagaan di mana perkhidmatan mereka dapat ditawarkan di dalam dan di luar negara.
“Hasrat ini telah pun saya persembahkan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sebuah ekspo belia, dan Alhamdulillah, respon Baginda sangat positif. Kini, kami masih dalam proses berhubung dengan pihak pelancongan. Kami ingin merancang sebuah festival di negara ini yang akan bergerak secara kekal. Kami ingin memperluaskan pasaran kami di bidang usahawan,” ucap Pengiran Kamal dengan penuh semangat.
Kumpulan Kamaloko Entertainment Group bakal beraksi di Filipina, Jepun dan Kuala Lumpur. Mereka bakal melebarkan sayap bukan sahaja sebagai kumpulan perkusi gendang tetapi terbang membawa nama negara, bagaimana negara yang kecil di peta dunia ini mempunyai belia-belia yang penuh berbakat dan berwawasan.
“Bagaimana kami beraksi? Letakkanlah kepercayaan kepada jiwa dan gendang, maka terciptalah keharmonian yang indah ketika beraksi,” ucap Pengiran Kamal di hujung temuramah.