Jiwa kental hadapi ujian ketahanan fizikal, mental

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

Memiliki semangat ketenteraan dengan jiwa kental menempuh segala cabaran yang sering kali menguji ketahanan fizikal dan mental menjadi ramuan utama kejayaan para penerima anugerah terbaik yang menjalani Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-19 selama 52 minggu bermula 30 Januari 2020.

Dua daripada para penerima anugerah telah sempat ditemu bual untuk mengongsikan pengalaman mereka itu antara 73 orang pegawai kadet yang telah diraikan dalam Upacara Sovereign’s Parade Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Pengambilan ke-19, kelmarin.

Berkenan berangkat menyempurnakan upacara berkenaan di Padang Kawad Akademi Pertahanan ABDB di Kampung Tanah Jambu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Kursus panjang itu melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.

Penerima Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera, Pegawai Kadet Muhd Athhar Ridzwan bergambar bersama kedua-dua ibu bapanya pada upacara tersebut.
Pegawai Kadet Awangku Ahmad Muqri selaku penerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani bergambar bersama kedua-dua orang tuanya pada upacara tersebut.
Antara pegawai kadet yang telah diraikan dalam Upacara Sovereign’s Parade Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Pengambilan ke-19, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Gigihkan diri hadapi cabaran sebaiknya

Pegawai Kadet Muhd Athhar Ridzwan bin Haji Muhd Alamizan selaku penerima Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera mengongsikan kejayaan besar yang dikecapi itu merupakan kurnia yang tidak terhingga daripada Allah SWT yang memudahkannya untuk mengatasi segala halangan dan rintangan, di samping berkat sokongan dan dorongan yang tidak putus-putus daripada kedua ibu bapanya yang menjadi tulang belakang beliau dalam meraih kejayaan berkenaan.

“Pelbagai cabaran yang dilalui sepanjang latihan dan kursus tersebut sering kali menguji ketahanan aspek fizikal dan mental.

“Namun, saya sentiasa berusaha menumpukan perhatian, jiwa dan minda sendiri untuk terus yakin dapat menguasai segala cabaran di samping menitik beratkan tahap fizikal yang baik. Kedua-dua semangat itu perlu sejajar untuk meraih kejayaan,” kongsinya semasa temu bual tersebut.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) turut menjelaskan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi sepanjang menjalani kursus berkenaan bagaikan bekalan yang begitu berharga sebagai menempuhi bidang ketenteraan di masa akan datang meliputi hal ehwal latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

Semai disiplin dalam diri dan jiwa

Manakala Pegawai Kadet Awangku Ahmad Muqri bin Pengiran Haji Shahbirin yang menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani berkongsi cabaran mental yang beliau lalui setiap hari di sepanjang latihan berkenaan telah mendisiplinkan diri dan jiwanya untuk sentiasa berusaha menanai segala kewajipan dengan sebaik-baiknya.

“Mengimbas kembali detik mula-mula memasuki bidang ketenteraan, di sanalah jiwa dan hati ini semakin berkobar-kobar dengan semangat ketenteraan daripada para pegawai atasan yang tidak kendur-kendur membangkitkan rasa semangat juang yang tinggi bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain,” tambahnya yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Hospitality Management dari SEGi University Kota Damansara, Malaysia.

Sebelum mengakhiri temu bual, beliau juga tidak ketinggalan untuk menasihatkan belia-belia masa kini agar berani mengambil risiko, buat sesuatu yang mereka suka lakukan supaya mereka boleh melakukannya dengan sepenuh jiwa. Semailah dalam diri agar tidak mudah berputus asa dan percaya pada rezeki.

Terus bangkit perwira

Dengan berakhirnya dengan sempurna Upacara Sovereign’s Parade yang menjadi kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi Sekolah Pegawai Kadet ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baru ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan, ia diharapkan agar wira dan wirawati yang diraikan itu menjadi pejuang dalam menegakkan keamanan dan kedamaian negara dan bangsa di bawah limpahan rahmat Allah SWT.

Dengan latihan yang dijalani itu akan dapat menanam nilai-nilai teras dalam sanubari mereka iaitu setia, takwa dan berani serta berbekalkan kesungguhan jiwa patriotik yang telah bersemadi dan mengalir dalam darah mereka untuk menggenggam amanah dan sedia mempertahankan negara demi menuju satu matlamat utama agar tanah air di tempat berpijak ini tetap aman sentosa dan damai sejahtera.