Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Sastera dan Majalah telah mengadakan sesi perkongsian ilmu ‘Wawancara Bersama Penggiat Seni’, pagi tadi.
Inisiatif wawancara yang telah dilaksanakan secara dalam talian melalui penstriman langsung di Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom itu telah menampilkan seorang penggiat seni belia tempatan yang pernah merangkul johan Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022, Awang Shamsul bin Haji Ahmad, pada Mei lalu.
Dalam sesi wawancara berkenaan yang dikendalikan oleh Awang Mohd Hamizan bin Isa, selaku moderator dan mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menjalani penempatan kerja di DBP Brunei, Awang Shamsul antaranya menjelaskan detik mula meminati bidang pengucapan puisi sememangnya sudah lama bersemi dalam diri beliau.
Pengalaman menyertai pertandingan antarabangsa anjuran DBP Malaysia itu merupakan julung kali buat diri beliau di mana jelasnya nilai penghayatan bait-bait puisi itu amat penting di samping menekankan nada suara, intonasi dan mimik muka yang bersesuaian ketika menyampaikan puisi bagi menguasai sebuah persembahan.
“Anggap saja apabila menyampaikan puisi itu kita seperti membawa watak dalam seni lakonan di mana kita perlu menjiwai segala isi tersurat dan tersirat yang terkandung dalam puisi. Sebaik-baiknya, kita juga perlu menghafal setiap karya puisi yang ingin dibawakan agar lebih memperlihatkan kesungguhan apabila menyampaikannya di khalayak awam,” ujarnya lagi.
Awang Shamsul turut mengongsikan beberapa tip berguna kepada generasi-generasi baharu yang ingin berkecimpung dalam apa sahaja pertandingan seperti deklamasi puisi ini untuk membuktikan kebolehan masing-masing.
“Secara umumnya menyebut mengenai pengucapan awam itu atau mana-mana pertandingan memang tidak terlepas daripada timbulnya rasa malu, takut atau gementar.
“Segala perasaan itu lumrah namun apa yang penting adalah persediaan yang rapi dan sentiasa berfikiran positif. Itu adalah antara kunci untuk mewujudkan keyakinan dalam diri,” tekannya.
Semasa mengakhiri wawancara, Awang Shamsul juga berkesempatan mendeklamasikan beberapa bait puisi bertajuk ‘Citra Bangsa Malaysia Baharu’ hasil karya Jasni Matlani, iaitu sentuhan puisi yang telah dipersembahkan dalam pertandingan tersebut.
Antara yang hadir menyaksikan wawancara maya berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah DBP Brunei, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin, pegawai-pegawai diplomat Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia, pegawai dan kakitangan DBP Brunei, pensyarah UBD dan orang ramai termasuklah para pengamal media.