Jiwaku Ikhlas Edisi 8 sampaikan sumbangan di Temburong

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

TEMBURONG, 18 NOV – Projek Amal Jiwaku Ikhlas Edisi ke-8, diteruskan lagi hari ini dengan penyerahan sumbangan lebih 200 kotak makanan basah dan kering, 1,000 keping pelitup muka Nano dan pelitup muka pakai buang tiga lapis, lebih 20 kotak air mineral serta beras dan makanan keperluan asasi untuk golongan yang memerlukan di daerah ini.

Penyerahan sumbangan pada majlis yang berlangsung di Pusat Vaksinasi Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong telah disempurnakan oleh Pengarah dan Pengasas Kris Karmila Kreations, Kris Karmila selaku wakil projek dan diterima oleh Pentadbir Kanan Hospital PIHM, Dayang Siti Mardiyah binti Haji Besar.

Kemudian, Kris Karmila menyerahkan sumbangan kepada Pemangku Ketua Kampung Puni dan Batang Tuau, Awang Ashawary bin Haji Abdul Rahman.

Terdahulu majlis penyerahan sumbangan, Kris Karmila mengongsikan bahawa projek berkenaan setakat ini telah berjaya menyerahkan lebih 700 sumbangan dan bantuan kepada pelbagai peringkat golongan yang terkesan akibat COVID-19.

“Kami juga telah menyampaikan bantuan di keempat-empat daerah termasuk mengagihkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan,” jelasnya.

Katanya lagi, Jiwaku Ikhlas edisi ke-8 hari ini, mengagihkan sumbangan daripada Kedutaan Besar Republik Iran di Negara Brunei Darussalam, Kris Karmila Kreations Co, Krispy Krunchiez, Laksa Putra, Dapur Yuza Sdn Bhd, Superwater Marketing Sdn Bhd, SuzySaid, Berrywan Companies, Prism Stellar dan sumbangan orang awam.

Perancangan seterusnya untuk projek ini, jelasnya, untuk edisi ke-9 dan ke-10 akan dilaksanakan pada Disember hingga penghujung tahun.

Kris Karmila menyampaikan sumbangan kepada Dayang Siti Mardiyah.
Kris Karmila menyampaikan sumbangan kepada Awang Ashawary.