JKDM Sabah rampas dadah bernilai RM1.15 juta

TAWAU, 13 JULAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat individu serta merampas 23 kilogram dadah dengan nilai anggaran RM1.15 juta dalam tiga operasi Op Ice Break II di Sabah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, operasi antara 1 hingga 4 Julai itu membabitkan satu kes di Lapangan Terbang Tawau dan dua lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

“Pada 1 Julai lalu, jam 11:40 pagi di Lapangan Terbang Tawau, seorang lelaki 53 tahun yang tiba dari Kuala Lumpur menaiki pesawat komersial ditahan bersama bagasi mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 4.193 kilogram (RM209,650) dan siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang wanita berumur 49 tahun.

“Pada 2 Julai lepas, pegawai kastam memeriksa satu beg plastik yang ditinggalkan dalam tandas Balai Ketibaan LTAKK dan di dalamnya mengandungi lapan bungkusan berisi dadah methamphetamine dengan berat kira-kira 8 kilogram dengan nilai anggaran RM400,000,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, dua hari kemudian, di LTAKK, JKDM menahan dua lelaki berumur 40-an serta merampas 11 kilogram methamphetamine bernilai anggaran RM550,000 yang disembunyikan dalam dua bagasi, pada 12:34 tengah malam. – Bernama