JKM tempah 2,000 botol air minuman hadapi kemarau

KUCHING, 12 OGOS – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah menempah 2,000 botol air minuman daripada pembekal sebagai persiapan menghadapi kemarau ekoran musim panas kering yang sedang melanda negeri ini.

Pemangku Pengarah JKM Sarawak Mohamad Guntor Rajaee berkata, pihaknya akan mengagihkan empat botol air enam liter itu kepada seorang penerima dalam seminggu sekiranya terdapat kawasan yang terputus bekalan air akibat kemarau.

“Kita sudah meminta semua pegawai (JKM) bahagian untuk berhubung dengan pembekal air (botol) kita supaya bersedia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) 2019 di sini.

Beliau berkata pihaknya sudah mula menghantar bekalan botol minuman yang ditempah terbabit ke semua 17 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini. – Bernama