KUCHING, 8 Jan – Seramai 58,081 individu daripada empat kumpulan sasar dijangka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMS) menerusi peruntukan kira-kira RM230 juta yang diterimanya di bawah unjuran Bajet 2018. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata empat kumpulan sasar itu terdiri daripada penerima bagi Skim Bantuan Persekutuan, Skim Bantuan Kerajaan Sarawak, Bantuan Bencana dan Geran Pembangunan Ekonomi.
Beliau berkata di bawah Skim Bantuan Persekutuan, peruntukan akan diagih kepada Bantuan Kanak-kanak (BKK), Bantuan Orang Tua (BOT), Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB), Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dan Bantuan Anak Terpelihara.
“Di bawah Skim Bantuan Kerajaan Sarawak pula, peruntukan akan diagih untuk Bantuan AM (BA), Bantuan Belia Beliawanis (BBB) dan Bantuan Tambahan kepada Persekutuan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusi Taklimat Rumusan Pelan Strategik 2018 – 2020 Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini, hari ini.
Katanya menyedari taraf sosioekonomi komuniti berkeperluan di Sarawak adalah rendah dan mudah terjejas, JKMS akan terus memantapkan lagi usaha untuk meningkatkan kesejahteran sosial dan ekonomi serta pemulihan komuniti berkeperluan sebagai satu komitmen berterusan dengan kerjasama strategik bersama pihak lain.
“Justeru, pada tahun ini JKMS akan melaksanakan 13 program ‘Signature’ secara serentak atau berperingkat untuk mengenal pasti individu-individu yang berkeperluan supaya tiada yang tercicir,” tambahnya. – Bernama