JKR laksana penutupan sebahagian jalan, pembaikan paip

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai kerja-kerja pembaikan paip bocor di Jalan Utama Mentiri / Kebangsaan mula dilaksana hari ini, manakala sebahagian jalan di Jalan Utama Berakas akan ditutup sementara bermula pukul 9 malam esok.

Dalam kenyataan yang diterima kerja-kerja pembaikan paip air utama berukuran 700mm di Jalan Utama Mentiri / Kebangsaan berdepanan bangunan Majlis Mesyuarat Negara kini sedang dilaksanakan selepas didapati kembali bocor disebabkan pergerakan tanah berdekatan pada 10 September lalu.

Oleh yang demikian, kerja kecemasan pembaikan paip serta kerja penstabilan tanah telah diteruskan petang hari ini dan akan mengambil masa beberapa hari sehingga kerja-kerja selesai. Kawasan-kawasan terlibat termasuk: Kampung Sungai Akar, Pusat Dakwah Islamiah, kawasan diplomatik (Diplomatic Enclave) serta sekitarnya.

Walaubagaimanapun, jabatan tersebut ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa setiap langkah telah diambil untuk melaksanakan pembekalan air kembali seperti biasa secepat mungkin. JKR juga ingin mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan meminta kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat di dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui tanker atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.

Sementara itu, penutupan Jalan Utama Berakas berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja melapis semula jalan-jalan yang rosak dapat dilaksanakan. Jalan berkenaan akan dibuka semula sebaik sahaja kerja-kerja berkenaan selesai dilaksanakan (tertakluk kepada keadaan cuaca), menurut kenyataan yang dikeluarkan JKR di sini, hari ini.

Sehubungan itu, JKR mengingatkan para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.