JKR maklumkan penutupan, perubahan perkhidmatan kaunter

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Berikutan situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan penutupan dan perubahan waktu semua perkhidmatan kaunter di JKR dan cawangan-cawangannya buat sementara waktu bermula 14 Ogos hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, JKR menjelaskan bahawa kaunter-kaunter perkhidmatan yang ditutup termasuk kaunter pembayaran bil air dan gas serta kaunter pemedulian pelanggan.

Bagi pelanggan yang ingin untuk membuat pembayaran, boleh melakukannya secara dalam talian, aplikasi mudah alih, mesin ATM dan CDM bagi pemegang akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri dan Bank Standard Chartered.

Sementara itu, bagi kaunter pembelian atau pembahagian dokumen tawaran dan sebut harga, ia hanya dibuka bagi sebarang urusan yang perlu dilaksanakan dengan segera iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Kaunter kutipan hasil juga hanya dibuka bagi sebarang urusan yang perlu dilaksanakan dengan segera iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi.

Mereka yang berurusan boleh menghubungi Ibu Pejabat JKR di talian 2381044 atau 2383911 sambungan 748 (kaunter pembelian atau pembahagian dokumen tawaran dan sebut harga), 2383911 sambutan 361 (kaunter kutipan hasil), Jabatan Perkhidmatan Air di talian 2220291 atau 2220292 sambungan 218 dan 305, JKR Daerah Belait dan Tutong di talian 3334312 sambungan 209, 255 dan 256, JKR cawangan Tutong di talian 4221225 atau 4221202 dan JKR cawangan Temburong di talian 5221250.

JKR dalam kenyataannya lagi menyatakan, kerjasama dan pertimbangan daripada orang ramai adalah sangat diharapkan dalam menangani isu wabak itu bagi sama-sama mengurangkan interaksi di antara pelanggan dengan kakitangan jabatan.

JKR juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi dan sangat menghargai kefahaman orang ramai.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan, boleh menghadapkannya menerusi e-mel [email protected] atau [email protected] (berhubung pembayaran bil air).