JKR perjelas isu kualiti air

Gambar serahan JKR

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Masalah air berwarna kerap terjadi selepas hujan berpanjangan yang mengakibatkan beberapa kawasan di dalam kawasan tadahan air mentah Sungai Tutong mengalami kebanjiran.

Ia disusuli dengan kadar hujan yang berkurangan mengakibatkan air yang bertakung semasa banjir tersebut akan mula turun ke sungai dan kejadian ini mengakibatkan warna air mentah menjadi lebih gelap daripada kebiasaan iaitu daripada bahan mineral (khususnya bahan mangan) dan tanah yang mengalir ke hilir sungai melalui aliran permukaan tanah (surface-runoff).

Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan bahawa mangan terdapat secara semula jadi di permukaan air atau di dalam tanah dan pada tahun ini, kandungan mangan di dalam air sungai terutama di Sungai Tutong telah melonjak naik melebihi kandungan had piawaian Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) bagi air sungai.

Kenaikan mendadak berkenaan disebabkan oleh beberapa perkara termasuk air hujan yang mengalir dari hulu yang mula turun ke sungai, aktiviti pembangunan dan aktiviti menggali tanah atau yang seumpamanya.

Selepas air mentah dirawat di loji, air yang diproses akan dihantar ke tangki-tangki dan kerana kandungan mineral mangan yang tinggi, terjadinya tindak balas kimia dalam proses penghantaran air dan menyebabkan air berubah warna.

JKR telah melakukan beberapa tindakan dalam mengatasi isu air berwarna yang sedang dialami.
Disebabkan kandungan mangan yang tinggi dalam air, terjadinya tindak balas kimia dalam proses penghantaran air kepada pengguna dan menyebabkan air berubah warna.

JKR menjelaskan perkara berkenaan menerusi infografik yang dikeluarkan berikutan isu kualiti air yang sedang dialami pada masa ini.

Kenyataan menyatakan, sebagai tindakan terhadap isu itu, JKR memantau tahap kualiti air di loji-loji rawatan air, tangki-tangki air dan contoh-contoh air, mengenalkan sistem dos bahan kimia sementara yang bertujuan untuk meneutralkan kandungan mangan di dalam air mentah dan mengenalkan sistem pengudaraan bagi membantu mengurangkan kandungan mangan di dalam air mentah.

Selain itu, pihak jabatan juga memperlahankan proses rawatan air bagi membolehkan pencampuran bahan kimia yang optimum, membuat penyelarasan bahan kimia yang optimum bagi meneutralkan kandungan mangan di dalam air mentah, membuat kajian yang terperinci mengenai kandungan mangan di dalam air sungai iaitu dengan mengenal pasti
tapak pencemaran sungai serta melakukan flushing sistem paip dan mengambil contoh air di kawasan-kawasan yang terjejas.

Dalam pada itu, JKR turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan tangki rumah dan penapis air persendirian sentiasa di dalam keadaan bersih dengan melakukan flushing dan backwashing serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi aduan kualiti air.

Menyentuh sama ada air berkenaan selamat digunakan, kenyataan menjelaskan bahawa mangan di dalam air akan membuatkan air berwarna dan mengeluarkan sedimen dalam jangka masa yang lama oleh itu, orang ramai bolehlah membuka paip air sehingga air berwarna tersebut hilang dan disarankan untuk memasak air terlebih dahulu sebelum
digunakan.