Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Video dan gambar yang menunjukkan sebuah trak jatuh ke dalam jalan raya yang berlubang di Lebuhraya Muara-Tutong telah tular melalui WhatsApp dan Facebook, kelmarin.
Berikutan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, memaklumkan bahawa jalan berkenaan telah pun ditutup buat sementara waktu seperti yang disiarkan dalam siaran akhbar jabatan itu pada 7 Mac lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kalbat di kawasan berkenaan.
JKR turut menyatakan bahawa untuk makluman orang ramai, kejadian itu berlaku pada 7 Mac pukul 1:15 petang semasa pemborong sedang melaksanakan kerja-kerja melapis semula jalan-jalan yang rosak di bahagian lorong sebelah kanan hala Berakas, apabila sebahagian jalan itu, tiba-tiba pecah dan telah mengakibatkan trak pemborong jatuh ke dalam rekahan jalan.
Hasil pemeriksaan JKR mendapati bahawa keadaan bawah jalan bergerohong yang mana disebabkan oleh kalbat besi lama yang telah rosak di kawasan yang sedang diturap aspal.
Pada masa ini, JKR sedang mengusahakan kerja-kerja bagi mengganti semula kalbat lama berkenaan.
Oleh yang demikian, dipohonkan supaya orang ramai untuk tidak menyebarkan lagi video dan gambar berkenaan.
Di kesempatan ini, JKR mengingatkan para pengguna lebuh raya berkenaan untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123 atau e-mel pro@pwd.gov.bn.