Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKR perjelas masalah air kekuningan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Pada masa ini, sebahagian kawasan di Daerah Brunei dan Muara mengalami air kekuningan dan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa sejak beberapa hari kebelakangan ini, kualiti air mentah Sungai Tutong tidak konsisten dan mengandungi tahap warna atau Colour Unit yang tinggi atau gelap (kehitaman).

    JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menerangkan bahawa perubahan kualiti air mentah berpunca daripada hujan berpanjangan pada ketika ini yang menyebabkan banyak bahan organik dan tanah mengalir ke hilir sungai melalui aliran permukaan tanah (surface-runoff) yang menyebabkan kandungan mineral dan bahan organik menjadi tinggi.

    Walau bagaimanapun, pihak JKR telah meningkatkan usaha untuk menangani isu air berwarna dengan melaksanakan pelbagai kerja operasi termasuk memantau kualiti air mentah dan air proses setiap dua jam di loji rawatan air, memantau kualiti air di tangki-tangki simpanan air dan juga rangkaian paip air setiap hari.

    Pihak jabatan juga menggunakan kimia tambahan serta memastikan segala tangki penapisan, kolam penjernih, dos kimia, pam-pam dan sebagainya di loji rawatan air berfungsi dengan baik.

    JKR dalam kenyataannya lagi, menasihatkan orang ramai terutamanya yang mempunyai tangki rumah dan penapis air persendirian untuk memastikan peralatan berkenaan sentiasa dalam keadaan bersih dengan melakukan rutin flushing dan backwashing.

    Jabatan itu menasihatkan orang ramai supaya memasak air sebelum digunakan untuk masakan atau minuman sebagai langkah berjaga-jaga dan memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.

    Pegawai JKR melakukan ujian terhadap sampel air yang diambil. Pihak JKR telah meningkatkan usaha menangani masalah isu kekuningan dengan memantau kualiti air mentah dan air proses setiap dua jam di loji rawatan air.- Gambar serahan JKR
    Keadaan air sungai pada ketika ini yang mempunyai kandungan mineral dan bahan organik yang tinggi. – Gambar serahan JKR

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda