JKR sedia tangki air di kawasan terjejas

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan telah mengambil maklum tentang gangguan bekalan air sejak beberapa hari ini yang menjejaskan beberapa kawasan.

Kawasan-kawasan berkenaan termasuk Berakas A, Berakas B, Gadong A, Gadong B, Kianggeh, Kilanas, sebahagian Kota Batu, Lumapas, Pangkalan Batu, Sengkurong Bandar Seri Begawan dan sekitarnya serta kawasan-kawasan tinggi.

JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa untuk menangani masalah berkenaan, tangki-tangki biru dan stand pipes disediakan di kawasan-kawasan tertentu.

Di RPN Lambak Kanan, tangki-tangki biru disediakan di Jalan 11 dan Jalan 11 Simpang 63, Masjid RPN Lambak Kanan, Jalan 1, Bangunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Jalan 49 dan Simpang 48, Dewan Jalan 77, Jalan 31 Simpang 40, Jalan 64 dan Jalan Madang, Jalan 3 dan Jalan 4.

Di Subok pula, tangki-tangki biru ditempatkan di Taman Riadah Sarubing, Perumahan Kebajikan Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Masjid Kampung Belimbing, Subok.

Bagi Lumapas pula, tangki-tangki ditempatkan di Pos Opis Lumapas, Simpang 580 Kampung Lumapas, Jalan Mabarong, Jalan Pawas Kecil, SKRJ Perumahan Kampung Lumapas dan bekas bangunan lama Jabatan Jalan Raya Kampung Lumapas.

Sementara itu, stand pipes pula disediakan di Jalan 10, Simpang 262, Kampung RPN Lambak Kanan; Jalan 2; Jalan Madang berdepan Simpang 46 dan simpang masuk Jabatan Perkhidmatan Air, Tasek Lama, Bandar Seri Begawan.

Kenyataan menyatakan, pada masa ini, pihak jabatan menerima kadar permintaan perkhidmatan lori tangki air yang agak tinggi, oleh yang demikian, penghantaran perkhidmatan lori tangki air dan air bersih hanya dapat dibuat mengikut giliran.

Penghantaran beg-beg air bersih ke rumah-rumah persendirian juga sedang giat dijalankan pada masa ini.