Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    JKR, Surati Construction tandatangan kontrak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Projek Pembinaan Jejambat di Persimpangan Lebuhraya Muara-Tutong/Penempatan Tapak Industri Tanjung Kajar yang bernilai $15,218,818 bermula dengan penandatanganan kontrak perjanjian di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.

    Hadir menyaksikan penandatanganan kontrak berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

    Perjanjian telah ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, dan Pemangku Pengarah Jalan Raya, JKR, Awang Rafitra bin Haji Abdul Razak bagi pihak Kementerian Pembangunan dengan Awang Mohamad Zul Fakhri bin Mohd Sofian dan Kua Tshin Heng mewakili pihak kontraktor.

    Projek pembinaan jejambat yang mengambil tempoh selama 18 bulan itu dikendalikan oleh kontraktor Surati Construction Sdn. Bhd.

    Sebagai strategi peneraju wawasan, projek berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan dan berdaya tahan dalam memastikan penyediaan dan penyelenggaraan rangkaian aset jalan raya yang efisien dan selamat untuk digunakan.

    Pembinaan jejambat itu juga dihasratkan dapat mendukung perkembangan aktiviti perindustrian dengan menyediakan laluan yang lebih efisien bagi pengangkutan bahan-bahan perindustrian.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan di bawah JKR, Kementerian Pembangunan.

    Haji Shaharuddin Khairul, Awang Rafitra, Awang Mohamad Zul Fakhri dan Kua Tshin Heng semasa sesi penandatanganan kontrak sambil disaksikan oleh Ir Haji Amer Hishamuddin. – Gambar oleh James Kon
    Tetamu kehormat semasa melihat pelan projek tersebut.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...