JKR umum penutupan jambatan dan jalan lencongan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan hari ini mengumumkan penutupan jambatan dan pembukaan sebuah jalan di dua kawasan berasingan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKR di sini hari ini, jambatan di Jalan Panchor Murai, Kulapis akan ditutup kepada pengguna bagi kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan tersebut.

Kerja-kerja pembaikan ini akan mengambil masa lebih kurang dua minggu bermula hari ini.

Sehubungan itu, para pengguna jalan raya dan penduduk setempat adalah dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Parit Pengkalan Batu atau Jalan Agau.

Sementara itu, JKR turut memaklumkan bahawa jalan lencongan sementara (lihat rajah di bawah) berdekatan dengan lokasi projek pembinaan jejambat di persimpangan Lebuh raya Muara-Tutong dan Perumahan Kampung Lugu akan mula dibukakan pada 25 Julai ini pada jam 9 pagi.

Jalan lencongan itu bertujuan memudahkan kerja-kerja pembinaan jejambat di kawasan tersebut dan khusus bagi lalu lintas menghala ke Bandar Seri Begawan.

Sehubungan itu, JKR menasihatkan orang ramai agar berhati-hati melalui kawasan-kawasan pembaikan dan lencongan tersebut dan memandu dengan lebih berhemah serta mematuhi papan-papan tanda keselamatan yang dipasang di kawasan tersebut bagi menghindari kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Bagi sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi jabatan ini melalui Talian Darussalam 123/Livechat Facebook JKR atau e-mel kepada [email protected]