JLPT pada Disember ini tidak dapat dikendalikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, memaklumkan orang ramai bahawa Ujian Kefasihan Bahasa Jepun (JLPT) pada Disember 2021 di Brunei, tidak akan dikendalikan disebabkan oleh keadaan penularan wabak COVID-19 di Brunei, pada masa ini.

Sehubungan dengan itu, maklumat lanjut mengenai JLPT pada 2022 akan diumumkan setelah organisasi-organisasi relevan menetapkan butiran masing-masing.

Ujian JLPT telah ditawarkan oleh Japan Foundation sejak 1984 sebagai kaedah untuk menilai dan mengiktiraf kefasihan Bahasa Jepun bagi mereka yang bukan menggunakan Bahasa Jepun sebagai bahasa ibunda.

Di Brunei, JLPT telah dilancarkan pada 2008 dan telah diadakan setiap Disember sejak itu.

Bagi sebarang maklumat dan perkembangan terkini, mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang dan saluran media sosial Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.