JMK lancar dua buku baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) telah menerbitkan dua buku baharu iaitu Raja Menjiwai Selawat Senegara dan Buku Isu-isu Kewangan 2 yang dilancarkan pada majlis yang berlangsung di jabatan berkenaan, hari ini.

Hadir menyempurnakan pelancaran kedua-dua buku tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menjelaskan, institusi fatwa telah mencapai umur 60 tahun dan dalam tempoh tersebut, ia bukanlah masa yang pendek dan bukan sedikit kejadian berlaku yang menguji ketabahan.

Antara ujian paling mencabar adalah bagaimana untuk memartabatkan bidang fatwa di negara ini melalui pengurusan terhadapnya.

“Di Jabatan Mufti, tradisi menghasilkan fatwa-fatwa dilaksanakan dengan lancar hingga dapat menerbitkan kumpulan fatwa pada setiap tahun,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bergambar bersama salah sebuah buku yang diterbitkan pada majlis pelancaran di Jabatan Mufti Kerajaan.

Di samping itu, tambahnya, jabatan juga dapat mengungguli bidang penerbitan umum selain fatwa dan sehingga kini, jabatan itu telah berhasil menerbitkan 137 judul buku dan ia telah mendapat sambutan di dalam dan luar negara.

Yang Berhormat Pehin berkata lagi, “Kalau jabatan ini dinilai sebagai berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, maka tidak dapat dinafikan ia adalah berpunca daripada keberkatan dan daulat raja kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana dengan kebijaksanaan dan wawasan Baginda yang jauh telah menubuhkan JMK.”

Majlis pelancaran buku turut disaksikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin dan Penolong Mufti (Buhuth) Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof.

Sejurus pelancaran buku tersebut, Yang Berhormat Pehin menyempurnakan penyampaian wakaf buku kepada enam buah perpustakaan tempatan.