JMK lancar dua buku mengenai COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri, hari ini, telah melancarkan dua buah buku terbaharu terbitan jabatan berkenaan yang bertajuk COVID-19: Apa Kata Mufti? Siri 2 & 3 dan COVID-19: Bimbingan Syarak dan Isu-isu Ibadat.

Ketua Bahagian Penerbitan dan Penerangan, Haji Mohidin bin Haji Mustapha semasa sidang media di jabatan berkenaan menjelaskan, buku COVID-19: Apa Kata Mufti? Siri 2 & 3 adalah hasil tulisan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Buku berkenaan, ujar beliau, antara lain menjelaskan bahawa sebagai umat Islam dalam menghadapi wabak penyakit ini, tidak seharusnya hilang punca kerana semua mesti faham apa saja perkara, terjadinya adalah dari Allah termasuk penyakit.

Di samping huraian mengenai sedekah dan doa, buku setebal 63 muka surat itu turut dimuatkan dengan beberapa doa, zikir dan ayat-ayat Al-Quran untuk dibaca dan diamalkan antaranya Istighfar, doa Nabi Allah Yunus AS, kelebihan ayat Al-Kursi, kelebihan Surah Yasin dan beberapa bacaan pendek.

Manakala itu, buku COVID-19: Bimbingan Syarak dan Isu-isu Ibadat yang mengandungi 98 muka surat pula mengongsikan beberapa panduan yang perlu diikuti dalam menghadapi wabak menurut syariat Islam.

Haji Mohidin menunjukkan dua buah buku terbaharu yang dilancarkan oleh JMK.

Bahagian kedua buku ini pula mengetengahkan beberapa isu dan permasalahan hukum mengenai ibadat yang timbul semasa penularan wabak seperti hukum berkaitan sembahyang Fardu Jumaat, sembahyang berjemaah, hukum mentaati Ulil-Amri, hukum memakai penutup mulut dan hidung dan penggunaan pensanitasi tangan ketika sembahyang.

Buku ini menggariskan sembilan langkah sebagai tindakan dan peringatan dalam menghadapi COVID-19 terutama dalam melaksanakan dan mematuhi saranan dan nasihat prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa dalam menghindari jangkitan dan penularan penyakit.

Di samping itu, ia juga memuatkan penyelesaian beberapa persoalan dan keraguan hukum yang berkaitan dengan ibadat sembahyang.

Kedua-dua buah buku berkenaan dijual pada harga yang berpatutan dan promosi bagi harga istimewa yang dijual dalam bentuk pakej akan berjalan mulai hari ini hingga penghujung Ogos.

Orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan kedua-dua buah berkenaan boleh berkunjung ke JMK.