Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) telah menerbitkan buku Fatwa Mufti Kerajaan 2020 yang mengandungi 33 fatwa yang telah difatwakan pada tahun 2020.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, JMK menjelaskan bahawa selain menjawab beberapa persoalan lazim seperti dalam hal ehwal akidah, ibadat, muamalat, kebudayaan, perubatan dan lain-lain, buku yang mempunyai 277 muka surat itu juga memuatkan beberapa fatwa dalam persoalan dan keraguan hukum semasa menghadapi penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia bermula pada penghujung 2019 yang lalu.
Ini antaranya mengenai persoalan sembahyang berjemaah dengan penjarakan, sembahyang jamak bagi jururawat pesakit COVID yang memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE), sembahyang berjemaah dengan penjarakan di antara jemaah dalam satu saf dan menunaikan dua Jumaat dalam satu masjid.
Selain itu, persoalan menjamakkan sembahyang dalam perjalanan ketika penutupan masjid dan surau kerana wabak COVID, penghantaran jemaah haji untuk menunaikan fardu Haji dalam situasi pandemik wabak COVID, mengenai cara pengurusan jenazah bagi pesakit COVID dan beberapa isu perubatan berkenaan penularan wabak COVID.
Salah satu ciri khas fatwa dalam buku itu bukan saja memberikan jawaban terhadap soalan dan permasalahan yang ditanyakan dan dipohonkan penjelasan hukum mengenainya, tetapi juga menghuraikannya dari berbagai-bagai aspek pandangan ulama-ulama mu’tabar Ahli Sunnah wal-Jamaah, di samping penghuraian tersebut juga penuh dengan ciri-ciri ilmu pengetahuan yang mudah dihayati.
Kenyataan menyatakan, buku tersebut perlu dimiliki oleh umat Islam untuk dimanfaatkan sebagai bahan rujukkan kerana fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu menyentuh
berbagai perkara kehidupan harian yang sering dihadapi.
Di samping itu, fatwa-fatwa itu tetap dengan ciri dan sifatnya memberi bimbingan dan ilmu agama yang relevan dengan isu yang ditanyakan.