JobCentre catat peningkatan 2,400 pekerjaan baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Kalau dilihat pada masa ini (sejak wabak COVID-19), kebanyakan perniagaan telah membuat pelarasan (adjustment), contohnya e-commerce, e-learning dan sebagainya.

Selain itu, juga terdapat peralihan pekerjaan, beberapa pekerjaan yang permintaannya tidak lagi tinggi dan pekerjaan-pekerjaan yang tertentu pula meningkat.

“Dalam statistik di JobCentre Brunei, kita lihat sejak awal tahun ini ada meningkat kerja kosong yang dihasilkan dalam sekitar 2,400 pekerjaan baharu. Ini terutamanya dalam bidang yang baharu seperti perkhidmatan penghantaran dan sebagainya.

“Setakat ini, kita sudah merekrut bagi lebih 1,100 pekerjaan. Oleh itu, masih lagi terdapat dalam 1,300 pekerjaan yang ada di luar sana,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang tempatan yang masih menganggur supaya mengambil peluang ini untuk menghadapkan diri bagi menjalani temu duga dan sebagainya.

“Apa yang kita lihat semasa COVID-19 ini ialah orang ramai membuat reaksi dengan persekitaran baharu. Dengan atau tanpa COVID-19, Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) juga menjejaskan kita, cara kita hidup, cara kita bekerja, cara kita berfikir dan sebagainya,” tekannya semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau berkata bahawa IR 4.0 yang tidak dapat dielakkan, mencipta persekitaran baharu di mana semua perlu bereaksi terhadapnya.