Joe Jonas, Sophie Turner sambut kelahiran anak perempuan

Pasangan selebriti terkenal iaitu Joe Jonas dan Sophie Turner selamat menimang cahaya mata perempuan pada 22 Julai lalu.

Memetik laporan Insider.com, biarpun sudah beberapa hari berlalu namun sumber terdekat memberitahu pasangan itu kini sudah bersedia untuk berkongsi berita gembira tersebut.

“Sophie Turner dan Joe Jonas kini sudah bersedia untuk berkongsi mengenai kehadiran cahaya mata pertama mereka. Pasangan itu juga mengambil masa menikmati momen istimewa itu.

“Mereka hanya berkongsi kegembiraan tersebut dengan keluarga dan rakan terdekat terlebih dahulu,” kata sumber.

Bagaimanapun, Joe dan Sophie belum lagi berkongsi sebarang foto bersama anak perempuan mereka yang diberi nama Willa di Instagram masing-masing.

Sebelum ini, pasangan itu tidak banyak berkongsi mengenai kehamilan itu, namun beberapa kali dilihat bersama dengan keadaan perut Sophie yang membesar.

Joe dan Sophie mendirikan rumah di Las Vegas pada Mei tahun lalu selepas Anugerah Muzik Billboard berlangsung. – Agensi

Joe Jonas dan Sophie Turner kini sudah bersedia untuk mengongsikan berita mengenai kehadiran cahaya mata pertama mereka. – Agensi