Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Acara Larian Mejawa Ultra 21/22 anjuran Passion Ku dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Jerudong B yang berlangsung bermula 16 Julai lalu dan berakhir kelmarin telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada ramai peserta.
Terdapat empat kategori yang dipertandingkan dalam acara berkenaan iaitu kategori lelaki terbuka, wanita terbuka, lelaki veteran dan wanita veteran (45 tahun ke atas).
Larian bermula di Dewan Pertanian Luahan Jerudong dengan format larian secara berulang di mana dalam satu pusingan berkejauhan 4.5 kilometer.
Awang Amirul Tuan muncul juara bagi kategori lelaki terbuka dengan catatan masa 11 jam 37 minit.
Manakala Haji Ibni menjuarai kategori lelaki veteran dengan mencatatkan 11 jam 43 minit.
Sementara itu, Pengiran Mas Norazlin binti Pengiran Momin muncul juara bagi kategori wanita terbuka dengan catatan masa 11 jam 44 minit dan Arince Lian juara bagi kategori wanita veteran dengan mencatatkan 11 jam 43 minit.
Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang.