John Legend seronok jadi tukang masak kepada isteri

Penyanyi John Legend mendedahkan dia menjadi tukang masak kepada isterinya, Chrissy Teigen sepanjang tempoh perintah berkurung (lockdown) berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut laporan Aceshowbiz , John berkongsi mengenai aktivitinya itu dalam sebuah podcast Table Manners bersama Jessie Ware baru-baru ini.

“Saya bertanggungjawab untuk menyediakan sarapan di rumah, jadi saya memasak pancake untuk anak-anak, telur dadar untuk Chrissy.

“Hampir semua jenis sarapan yang anda bayangkan seperti daging, sosej… semua itu saya yang masak.

“Saya suka memainkan muzik ketika memasak. Jadi selalunya saya mendengarkan muzik secara stream atau memutarkan beberapa lagu kegemaran dari pelbagai genre penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, John berkata isterinya kini sedang menyiapkan buku masakan terbaharu dan berasa gembira apabila John dapat menolongnya di dapur menyiapkan hidangan makanan untuk keluarga.

“Dia sudah penat memasak, lebih-lebih lagi apabila dia sudah berjaya menyelesaikan buku masakan terbaharunya. Rasanya seperti ketika saya selesai membuat jelajah, saya tidak mahu bernyanyi untuk sebentar… jadi mungkin dia turut merasa perkara yang sama.

“Dia gembira apabila saya dapat menolongnya! Kadang-kadang saya masak sendirian, dia pula membantu. Saya akan memasak sarapan dan makan tengah hari untuk anak-anak tetapi dia akan memasak untuk juadah makan malam,” ujarnya.- Agensi

John Legend mendedahkan dia menjadi tukang masak kepada isterinya sepanjang tempoh perintah berkurung COVID-19.- Agensi