Johnny Depp menang kes saman fitnah terhadap Amber Heard

Enam minggu turun naik mahkamah bagi menjalani perbicaraan, juri di sebuah mahkamah di Faifax, Virginia mendapati pelakon Amber Heard telah membuat fitnah mengenai dakwaan dia didera oleh bekas suaminya, Johnny Depp.

Juri turut memutuskan pelakon terkenal dalam filem bersiri Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi sebanyak AS$15 juta.

Jumlah ganti rugi tersebut kemudian dikurangkan kepada AS$10.35 juta sejajar dengan had punitif yang dibenarkan oleh undang-undang di negeri berkenaan.

Tujuh juri yang mendengar perbicaraan itu telah mendapati bahawa artikel yang ditulis oleh artis wanita tersebut pada 2018 mengenai dakwaan keganasan seksual adalah fitnah dan berniat jahat.

Bagaimanapun, juri memihak kepada Heard dalam satu tuntutan balasnya kepada Depp dan mengarahkan Depp membayar bekas isterinya itu sebanyak AS$2 juta.

Johnny Depp menang kes saman fitnah terhadap bekas isteri dengan bayaran ganti rugi sebanyak AS$10.35 juta menurut undang-undang negara tersebut. – Agensi

Depp, 58, mengemukakan saman fitnah menuntut tidak kurang AS$50 juta terhadap Heard yang didakwa memfitnahnya apabila bekas isterinya itu dalam satu artikel akhbar mendakwa dia merupakan ‘figura awam yang mewakili keganasan rumah tangga’.

Heard yang pernah membintangi filem aksi Aquaman pula mengemukakan tuntutan balas dengan menuntut bayaran sebanyak AS$100 juta, dengan mendakwa Depp mencemarkan reputasinya.

Pasangan berkenaan bertemu pada 2011 ketika membintangi filem The Rum Diary sebelum berkahwin pada Februari 2015.

Bagaimanapun, mereka disahkan berpisah dan penyelesaian perceraian dimuktamadkan dua tahun kemudian.

Depp memfailkan saman tersebut di Fairfax County, Virginia, kerana artikel yang didakwanya mengandungi fitnah berkenaan diterbitkan Washington Post, yang dicetak di situ. – Agensi