Johnny Depp tuduh Amber Heard jalin banyak hubungan sulit

Aktres Amber Heard mendakwa bekas suami iaitu Johnny Depp sering menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan semua aktor lelaki yang pernah bekerjasama dengannya.

Semasa prosiding mahkamah, pelakon filem Aquaman itu berkata Johnny turut menuduhnya mempunyai hubungan bersama Leonardo DiCaprio ketika Amber masih bergelar isteri Johnny, walaupun mereka hanya pernah menjalani uji bakat untuk sebuah projek.

“Dia tuduh saya mempunyai hubungan dengan semua pelakon lelaki iaitu Eddie Redmayne, James Franco, Jim Sturgess, Kevin Costner, Liam Hemsworth, Billy Bob Thornton serta Channing Tatum.

“Dia kerap membangkitkan isu itu, terutamanya ketika sedang mabuk atau khayal dan akan menggelar mereka dengan nama timangan seperti pumpkin-head untuk Leonardo DiCaprio dan potato-head untuk Channing Tatum,” katanya.

Selain itu, Amber turut menuduh Johnny cuba menghalang perkemba-ngan kerjayanya dengan tingkah lakunya itu.

Amber Heard mendakwa bekas suami iaitu Johnny Depp turut meletakkan syarat bagi babak romantik. – Agensi

Kata Amber, pelakon Pirates of The Caribbean itu sering mendakwa dia berhubung dengan kenalan serta sumber yang mengetahui tentang hubungan sulit Amber.

“Dia akan cuba untuk mendapatkan kepastian daripada saya dengan mengambil telefon bimbit saya atau berkata seseorang memberitahunya bahawa saya mempunyai hubungan sulit.

“Dia juga akan berpura-pura seperti dia mempunyai informasi untuk membuktikan perkara itu, yang mana sebetulnya saya tidak pernah mempunyai hubungan sulit,” ujarnya.

Tambahnya, Johnny turut meminta untuk membaca skrip dan babak-babak romantik yang perlu dilakonkan Amber.

“Dia akan dapatkan salinan skrip saya dan membuat ulasan tanpa bertanya kepada saya terlebih dahulu.

“Peraturannya semakin ketat tahun demi tahun kami bersama di mana dia akan bertanya tentang setiap aspek babak romantik dan meletakkan syarat tentang apa yang boleh dan tidak boleh saya lakukan,” jelasnya.

Perbicaraan yang akan dijalankan selama tiga minggu itu bermula pada 7 Julai lalu telah mengundang pelbagai dakwaan tentang perkahwinan mereka. – Agensi