Johnson bolot AS$15 juta

WASHINGTON, 8 SEPT – Pemain golf nombor satu dunia, Dustin Johnson mencatat dua bawah par 68 serta membenam birdie di lubang terakhir untuk muncul juara dengan kelebihan tiga pukulan pada Kejohanan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Kejayaan terbaharu itu sekali gus menyaksikannya memenangi gelaran FedEx Cup dengan ganjaran AS$15 juta. Johnson menamatkan saingan dengan keseluruhan 21 bawah par di East Lake Golf Club di Atlanta, tiga pukulan mengatasi Xander Schauffele dan Justin Thomas.

“Ini mungkin aksi terbaik sepanjang karier. Saya berasakan segala-galanya seperti berjalan dengan lancar,” katanya yang memulakan pusingan terakhir dengan kelebihan lima pukulan.

Dia berjaya membenam birdie dari jarak jauh di lubang ketiga, kelima dan keenam. Namun bogey pada lubang ketujuh dan kelapan menyaksikan saingan kembali terbuka untuk Thomas and Schauffele.

Johnson kemudian melakukan tolakan putt dengan baik di lubang ke-13 untuk menjarakkan kedudukan dengan Schauffele.

“Dia melakukan putt dengan baik tetapi saya gagal melakukannya. Saya rasa ia adalah detik yang amat penting.

“Apapun bukan mudah untuk memenangi trofi ini. Saya masih dapat beraksi dengan baik dan tahu apa yang harus dilakukan,” kata Schauffele yang melakukan bogey di lubang ke-13.

“Tapi saya telah melakukan aksi terbaik saya hari ini. Saya beraksi bersama ramai pemain hebat dan mereka mempamerkan kehebatan mereka,” tambahnya. Pemain berusia 36 tahun itu memenangi gelaran jelajah kali ke-23 dan kali ketiga memenanginya sejak perlawanan disambung semula selepas dihentikan sementara akibat penularan pandemik. – AFP

Johnson meraikan kejayaan bersama piala kejuaraannya selepas memenangi perlawanan tersebut. – AFP