Johnson & Johnson diarah bayar ganti rugi AS$8 bilion

NEW YORK, 9 OKT – Juri Pennsylvania semalam mengarahkan firma gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson membayar ganti rugi dan faedah berjumlah AS$8 bilion kerana gagal memberi amaran ubat psikiatri boleh menyebabkan payudara lelaki membesar.

Johnson & Johnson dan anak syarikatnya, Janssen Pharmaceuticals dipersalahkan apabila plaintif, Nicholas Murray, memberitahu mahkamah Philadelphia bahawa ubat Risperdal, yang diberikan untuk merawat skizofrenia dan bipolar, menyebabkan payudara beliau membesar.

Syarikat berkenaan mencabar arahan itu, menyifatkan pampasan yang diberikan sangat tidak seimbang dengan pemberian terdahulu dalam kes itu yang cuma berjumlah AS$680,000.

“Syarikat yakin arahan akan ditarik balik dan mengetepikan segera keputusan melampau dan tidak berasas ini,” kata kenyataan.

Dalam kenyataannya, Johnson & Johnson menuduh mahkamah menghalang peguam mereka membentangkan bukti kukuh pada label Risperdal.

Syarikat itu berdepan siri aduan di mahkamah kerana gagal memberi amaran mengenai kesan sampingan Risperdal, termasuk di Pennsylvania, California dan Missouri. – AFP