Johnson pertahan tindakan cummings

LONDON, 25 MEI – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kelmarin tidak menghirau tekanan dari partinya sendiri dan menyokong pembantu utama Dominic Cummings, atas tuduhan beliau melanggar peraturan perintah berkurung koronavirus.

Cummings telah menjadi tokoh yang amat memecahbelahkan dalam politik Britain sejak menguasai kempen Brexit 2016 yang berjaya bersama Johnson.

Tetapi Johnson menolak cadangan untuk memecat Cummings selepas beliau dikecam kerana membuat perjalanan keluar negara bersama isterinya ketika isterinya menunjukkan gejala penyakit apabila nasihat yang rasmi adalah mengadakan pengasingan diri di rumah.

Johnson berkata kelmarin pada taklimat berita bahawa beliau percaya Cummings ‘bertindak dengan penuh tanggungjawab dan secara sah serta penuh integriti’ setelah pasangan itu mengadakan rundingan krisis.

“Saya telah membuat kesimpulan bahawa dalam perjalanan untuk mencari penjagaan kanak-kanak yang sesuai pada masa apabila dia dan isterinya terjejas kerana dijangkiti oleh koronavirus, dan ketika dia tidak mempunyai pilihan, saya rasa dia mengikut naluri seperti setiap ayah dan setiap ibu bapa,” tambah beliau.

Boris Johnson mempertahankan tindakan Dominic Cummings, atas tuduhannya melanggar peraturan perintah berkurung koronavirus. – AP

Cummings dilihat bersama anaknya berhampiran dengan rumah orang tuanya di Durham, timur laut England, lebih 250 batu dari kediamannya di London pada 31 Mac, sehari selepas dia dilaporkan menghidapi gejala virus.

The Observer dan Sunday Mirror melaporkan bahawa beliau melanggar peraturan perintah berkurung di Durham buat kali kedua pada 19 April, beberapa hari selepas beliaukembali bekerja di London selepas perjalanan pertamanya ke utara.

Seorang saksi memberitahu akhbar bahawa Cummings juga dilihat di bandar Barnard Castle, 30 kilometer dari Druham pada 19 April. Saksi tersebut yakin orang tersebut adalah Cummings, dan memfailkan aduan kepada polis atas kemungkinan melanggar perintah berkurung.

Cummings menafikan dakwaan terbaharu, yang telah menimbulkan bantahan awam, terutama mereka yang mengelakkan kontak dengan saudara-mara tua, beberapa orang telah meninggal dunia akibat virus. – AFP