Johnson: UK boleh ‘maju’ tanpa Brexit

LONDON, 4 OKT – Perdana Menteri Boris Johnson berkata hari ini bahawa Britain ‘boleh maju’ tanpa perjanjian perdagangan pasca Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU), sehari selepas bersetuju untuk melanjutkan rundingan dengan Brussels.

Johnson, yang mengadakan rundingan berlarutan dalam persidangan video semalam bersama ketua EU, Ursula von der Leyen, memberitahu BBC beliau percaya perjanjian ‘sudah ada untuk dimeterai’ sebelum Britain meninggalkan blok tersebut pada 2021.

Namun beliau mengingatkan bahawa EU perlu memahami bahawa kerajaannya ‘memandang serius mengenai keperluan mengawal undang-undang kami sendiri dan peraturan kami sendiri,’ termasuk dasar perikanannya. Britain secara formal meninggalkan blok pada Januari tetapi masih terikat kepada kebanyakan peraturannya sehingga akhir tahun di bawah syarat-syarat perpisahan Brexit.

Fasa peralihan dalam 11 bulan sekarang bertujuan membenarkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai hubungan perniagaan masa depan mereka selepas pengintegrasian ekonomi dan politik selama lima dekad.

Bagaimanapun, sembilan rundingan yang dijadualkan berakhir pada Jumaat dengan kedua-dua pihak berkata halangan besar kepada perjanjian masih timbul, mendorong campur tangan dari Johnson dan von der Leyen.

Kedua-dua pemimpin, yang kali terakhir mengadakan rundingan Brexit pada Jun, meminta perunding mereka supaya berusaha secara intensif demi merapatkan jurang berkenaan.

Namun kebimbangan meningkat mengenai gangguan perjalanan dan perniagaan sekiranya kemajuan tidak dicapai dan berakhir dengan perjanjian tanpa Brexit. London dan Brussels telah menetapkan sidang kemuncak Eropah pada 15 Oktober sebagai tarikh terbaharu satu perjanjian boleh dicapai untuk disahkan tepat pada masanya untuk dikuat kuasa pada 2021. – AFP

Perdana Menteri Britain Boris Johnson tiba di BBC Broadcasting House untuk muncul dalam rancangan Andrew Marr di London kelmarin. Johnson berkata Britain ‘boleh maju’ tanpa perjanjian perdagangan pasca Brexit dengan Kesatuan Eropah. – AP