Johor catat 28 kematian akibat denggi

JOHOR BAHRU, 23 OGOS – Johor mencatatkan 28 kematian akibat demam denggi bagi tempoh Januari sehingga 15 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 18 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

“Sehingga 15 Ogos juga, Johor melaporkan sebanyak 7,409 kes demam denggi, ia sekali gus menjadikan kita negeri ketiga tertinggi kes demam denggi di Malaysia, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Johor Perangi Denggi 2020 oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

Vidyananthan berkata daripada 7,409 kes yang dilaporkan, sebanyak 5,963 kes berlaku di daerah Johor Bahru. Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan masalah kesihatan awam membabitkan denggi dapat dikekang menerusi Kempen Johor Perangi Denggi 2020 ini. – Bernama