Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Johor kaji laluan baharu feri ke Singapura

    JOHOR BAHRU, 19 JAN – Kerajaan negeri Johor akan mengkaji laluan baharu perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di sini, pada masa akan datang, membabitkan perjalanan ke Singapura.

    Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dengan laluan baharu ini nanti, ia diyakini dapat memudahkan perjalanan antara Johor dan Singapura, sekali gus membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi di negeri ini.

    “Saya telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri, Raven Kumar Krishnasamy untuk mengkaji dan melihat cara bagi membolehkan perjalanan dari terminal ini ke Singapura,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

    Tambah beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan pengendali terminal, UEM Sunrise Bhd untuk menambah baik mutu perkhidmatan terminal feri ini bagi manfaat ekonomi dan rakyat Johor.

    Terdahulu, Onn Hafiz telah meninjau operasi terminal berkenaan, yang merupakan satu daripada pintu masuk negara melalui jalan laut yang menghubungkan laluan berulang alik ke Batam dan Tanjung Balai, di Indonesia.

    Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu, seramai 141,720 pelawat telah menggunakan perkhidmatan di terminal itu tahun lepas.

    Bagi tahun 2019 sehingga 2022, kira-kira 36 peratus pengunjung yang tiba di terminal feri itu adalah pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan di Johor.

    “Ini membuktikan pentingnya penyediaan infrastruktur pengangkutan seperti terminal ini bagi terus menyokong pertumbuhan sektor ekonomi tempatan,” katanya. – Bernama

    Datuk Onn Hafiz Ghazi (empat, kiri) melakukan ‘Flag Off’ sebagai tanda simbolik Majlis Perasmian Pembukaan Jambatan Sungai Pulai dan Gelang Patah ke Tanjung Bin pada 19 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...