Johor perlu peruntukan tambahan untuk anjur Sukma 2020

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT – Kerajaan negeri memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM21.6 juta untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di negeri itu, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini ekoran penganjuran temasya telah dianjak dari tarikh asal pada Julai tahun ini berikutan penularan jangkitan COVID-19.

“Peruntukan tambahan ini melibatkan perbelanjaan pengurusan atau pengelolaan. Ia diperlukan untuk keperluan peralatan tambahan di setiap venue sukan, penginapan dan pusat operasi Sukma bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Ia juga digunakan untuk aktiviti promosi yang perlu dilaksanakan oleh Sekretariat Sukma Johor,” kata beliau ketika menjawab soalan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH-Semerah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini. – Bernama