Jokowi lawat mangsa banjir, gempa bumi

MAMUJU, INDONESIA, 19 JAN – Presiden Indonesia, Jokowi Widodo hari ini melawat kawasan dilanda gempa bumi di wilayah Sulawesi Barat selepas meninjau kawasan terjejas banjir di kepulauan Borneo kelmarin, memberi jaminan kepada rakyat bahawa bantuan kerajaan akan sampai kepada mereka yang terjejas.

Beliau berjanji akan membina semula bangunan kerajaan yang runtuh dan membantu rakyat membina semula rumah-rumah yang rosak dengan bantuan sehingga 50 juta rupiah (AS3,560) semasa meninjau bandar paling teruk terjejas gempa, Mamuju yang didiami 300,000 penduduk dan ibu kota wilayah tersebut.

Pekerja bantuan hari ini membersihkan serpihan runtuhan bangunan di pulau Indonesia di mana gempa bumi maut mengakibatkan ribuan orang tanpa kediaman.

“Kami berharap bantuan oleh kerajaan pusat boleh mempercepatkan pembaikan rumah-rumah terjejas dan ekonomi,” katanya semasa berucap selepas melawat mangsa yang selamat ditempatkan di khemah perlindungan di sebuah padang bola. “Perkhidmatan kerajaan juga akan kembali normal,” tambahnya. – AP

Gambar dikeluarkan Istana Presiden Indonesia menunjukkan Jokowi (tengah) bercakap dengan pegawai sambil memeriksa bangunan kerajaan yang rosak akibat gempa bumi di Mamuju, Sulawesi Barat, Indonesia, 19 Januari. Selain melawat kawasan gempa, Jokowi turut melawat kawasan terjejas banjir di Borneo. – AP