Jokowi penerima vaksin pertama Indonesia

JAKARTA, 13 JAN – Presiden Indonesia, Joko Widodo menerima suntikan pertama COVID-19 hari ini, ketika kepulauan dengan penduduk hampir 270 juta itu memulakan kempen vaksinasi besar-besaran untuk membendung kadar kes jangkitan yang meningkat.

Pemimpin berusia 59 tahun itu yang dikenali sebagai Jokowi telah diinokulasi dalam siaran langsung di televisyen di istana negara di Jakarta bersama menteri kesihatannya dan para pegawai kanan yang lain serta para pemimpin perniagaan dan badan agama.

“Saya langsung tidak merasakan apa-apa,” katanya sambil ketawa selepas menerima dos vaksin CoronaVac yang dibangunkan oleh China, yang pertama daripada dua suntikan yang diperlukan.

“Vaksinasi sangat penting untuk memutuskan rangkaian jangkitan koronavirus dan memberi perlindungan kesihatan kepada semua serta keselamatan dan sekuriti kepada semua rakyat Indonesia,” kata Jokowi memberitahu para wartawan, menambah bahawa ia juga ‘akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi’.

Pengawal atur tempatan pada minggu ini telah meluluskan suntikan CoronaVac yang dihasilkan oleh Sinovac, mengumumkan yang keberkesanannya sekitar 65.3 peratus, menurut ujian yang dilakukan di Indonesia.

Presiden Joko Widodo ketika menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 di Istana Presiden di Jakarta pada 13 Januari. – AFP

Ujian-ujian telah dilakukan di Brazil menunjukkan suntikan Sinovac sangat berkesan dalam menghindari kes virus sederhana hingga kes serius. Namun keseluruhannya, ia hanya 50 peratus berkesan dalam mencegah para pesakit daripada dijangkiti penyakit tersebut.

Ketika vaksin telah mencapai sasaran keberkesanan minimum sekitar 50 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia berada di belakang vaksin yang dihasilkan oleh Moderna dan Pfizer-BioNTech yang masing-masing berkesan 94 dan 95 peratus.

Kakitangan kesihatan dan kumpulan berisiko akan mendapat keutamaan di bawah pelan besar untuk menginokulasi hampir 182 juta penduduk dalam tempoh 15 bulan.

Suntikan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko seperti ibu mengandung dan sebagainya.

Sebelum itu, pada 6 Disember lepas, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin COVID-19 dari China dan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lepas, manakala 15 juta lagi vaksin diterima semalam.

Kerajaan Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax. – AFP/Bernama