Jokowi sokong Kemboja sebagai pengerusi ASEAN 2022

JAKARTA, 5 JAN – Presiden Indonesia Joko Widodo menzahirkan sokongan terhadap Kemboja sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi 2022 menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, hari ini.

Joko Widodo lebih dikenali sebagai Jokowi, dalam ciapan Twitternya berkata kedua-dua pihak turut membincangkan situasi di Myanmar.

“Saya telah mengulangi pendirian Indonesia mengenai kepentingan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) demi mengembalikan demokrasi di Myanmar melalui sesi dialog inklusif.

“Sekiranya tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan 5PC, Myanmar hanya boleh menghantar wakil bukan politik pada mana-mana mesyuarat ASEAN,” kata Jokowi.

Myanmar mengalami pergolakan sejak 1 Februari tahun lalu apabila Panglima Angkatan Tentera Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan yang diketuai Aung San Suu Kyi dan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam kebangkitan rakyat yang menyusul.

Pelaksanaan 5PC oleh junta dilihat tidak mencukupi bagi menjamin perdamaian dan memulihkan keamanan di Myanmar, menyebabkan negara itu diketepikan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan pada akhir Oktober lepas.

Konsensus Lima Perkara antara lain menggesa keganasan di Myanmar segera ditamatkan, dialog konstruktif diadakan dalam kalangan semua pihak, ASEAN menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, pelantikan duta khas ASEAN untuk memudahkan dialog dan duta itu dibenarkan melawat negara berkenaan. – Bernama