Jollibee buka cawangan ke-18

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Restoran makanan segera yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di negara ini, Jollibee telah membuka cawangannya yang ke-18 di Lambak Kanan, Mukim Berakas.

Lebih menarik lagi, cawangan berkenaan juga merupakan kemudahan pandu lalu Jollibee yang ketiga di Brunei, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jollibee.

Perasmian cawangan berkenaan telah disempurnakan bersama oleh Ketua Negara Jollibee di Brunei, Christina Ward; Dayang Nurazimah binti Haji Raub selaku wakil lembaga pengarah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji Awang Abdul Hapidz bin Pehin Orang Kaya Laksamana Haji Awang Abdul Razak; Pengurus Kumpulan Jollibee, Roilan Alvarez, Pengarah Urusan Stesen Minyak IBA, Pengiran Tuti Noryoul Irwani binti Pengiran Ibnu dan Ketua Kecemerlangan Operasi Runcit BSM, Marvin Goh.

Menurut kenyataan itu lagi, Jollibee telah berada di negara ini lebih daripada 30 tahun, dengan bermula daripada hanya empat cawangan kini menjadi salah satu restoran makanan segera terbesar di negara ini.

Christina Ward, Dayang Nurazimah, Roilan Alvarez, Pengiran Tuti Noryoul Irwani, Marvin Goh bergambar ramai pada majlis perasmian cawangan baharu Jollibee.