Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Selaras dengan ulang tahunnya yang ke-35 di Brunei, Jollibee membuka restoran ke-19 di Beribi, yang juga merupakan kedai pandu lalu keempat restoran makanan segera itu di negara ini.
Cawangan terbaharu itu dirasmikan dengan upacara memotong reben yang disempurnakan oleh Pengarah Entrek (B) Sdn Bhd Jollibee Brunei, Awang Abdul Razak bin Mohammad Hassan bersama isteri, Dayang Norazimah binti Haji Raub; dan anak lelakinya, Awang Abdul Hakeem bin Abdul Razak; Ketua Perniagaan Negara Jollibee Brunei, Christina Ward dan Pengurus Kumpulan Jollibee Kawasan 2, Glenard Santidad.
Ketua Pasaran untuk Jollibee Asia Tenggara dan Australia, Rodel Alcantara ketika berucap berkata, “Kami berterima kasih kepada pelanggan setia kami atas sokongan berterusan mereka untuk Jollibee ketika kami meraikan ulang tahun ke-35 dan kedai ke-19 kami di Brunei.
“Kami telah melihat sejumlah besar pelanggan pandu lalu sejak pandemik bermula, dan kami berbesar hati menawarkan satu lagi lokasi pandu lalu untuk pelanggan kami mendapatkan kegemaran Jollibee mereka,” ujarnya. Jollibee terkenal dan digemari ramai kerana ayam gorengnya yang rangup, Chickenjoy turut diiktiraf dalam Anugerah Makanan Brunei sebagai ayam goreng terbaik di negara ini.