Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyertai Malam Munajat yang akan diadakan secara maya esok (2 Oktober) bermula pukul 6:45 malam, selepas menunaikan sembahyang fardu Maghrib, sembahyang sunat Taubat dan sembahyang sunat Hajat di kediaman masing-masing.
Majlis berkenaan diadakan bagi mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT, dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir dan merafakkan doa secara serentak beramai-ramai dengan doa dan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang berhasrat untuk menyertainya bolehlah melayari pautan http://tiny.cc/munajatkhaskheu21 atau mengikuti secara langsung melalui Instagram @pdi_kheu.