Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan bekalan darah khususnya bagi golongan yang memerlukan, Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan meneruskan pelaksanaan kempen-kempen derma darah.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kempen derma darah anjuran Boeffi International akan diadakan esok di Event Stage, Tingkat 1, Kompleks Membeli-belah Mabohai bermula 10 pagi hingga 2 petang.
Pada 10 September, Yayasan Kanser Kanak-kanak akan menganjurkan kempen serupa di Tingkat 1, Pusat Membeli-belah Onecity, Sungai Hanching bermula 10 pagi hingga 1 petang.
Sementara itu, pada 13 September, kempen akan diadakan di Tingkat 1, Kompleks Annajat, Beribi, bermula 10 pagi hingga 2 petang, diikuti pada 14 September di Bilik Pameran BAIC, TCY Motors Sdn Bhd, Perindustrian Lambak Kanan, dari 9 pagi hingga 2 petang.
Oleh yang demikian, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai kempen-kempen tersebut, sekali gus menderma darah bagi sama-sama membantu mengekalkan bekalan darah di negara ini.
